Jangan biarkan propaganda Utusan berterusan
Technorati tags: Bahasa Malaysia, Utusan Malaysia, Propaganda, UMNO, Hindraf
Nota pra-posting ulungkali Walski: Rencana ini adalah posting myAsylum pertama dalam Bahasa Malaysia. Terjemahan bahasa Inggeris rencana ini, apabila siap nanti, boleh dibaca is laman blog Walski yang satu lagi, iaitu myAsylum reLoaded. (posting ini akan dikemaskinikan apabila terjemahan tersebut siap nanti).
Ada sebuah akhbar Bahasa Malaysia yang gemar menggempar-gempurkan isu-isu tertentu. Malangnya, untuk sebahagian dari warga Melayu di Malaysia, mungkin juga akhbar ini satu-satunya sumber berita, terutama sekali jika mereka tiada mempunyai talian Internet peribadi.
Aneh juga mengapa sesetengah isu di-"ultra"-sensasikan, kadangkalanya tanpa memberikan isu tersebut gambaran objektif dan menyeluruh. Di antara contoh terkini termasuk liputan mengenai Teresa Kok, dan "agenda" Utusan yang terkini - Hindraf.
Utusanlah akhbar yang cuba menggunakan khabar angin, dan mengagung-agungkan idolanya, bekas Menteri Besar Selangor, Khir Toyo, untuk menaruh fitnah ke atas Teresa Kok, (melalui rencana "Azan, jawi, JAIS, UiTM dan ba-alif-ba-ya"), yang menyebabkan Ahli Parlimen tersebut dipenjarakan selama seminggu di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Dan adakah pernah Utusan meminta maaf apabila diketahui umum hal yang sebenarnya, iaitu Teresa tidak pernah sekali pun mendesak pihak mana-mana masjid seperti yang dituduh oleh rencana Utusan tersebut?
Bukan sahaja Utusan enggan meminta maaf, tetapi setelah Teresa dibebaskan, ada pula isu lain yang sengaja diungkit, kononnya Teresa menghadiri satu upacara buka puasa dengan berpakaian kurang sesuai.
Utusan kini ibarat batu api yang sengaja mahu menimbulkan rasa kurang senang dikalangan pembacanya. Tetapi disebabkan kaitan akhbar tersebut dengan UMNO/BN tidak satu pun tindakan yang diambil oleh pihak kerajaan. Maklumlah... macam meludah ke langit, kan?
Pada kacamata Walski, Utusan sudah hilang kredibilitinya sebagai agensi akhbar - yang nyata, Utusan tidak lain tidak bukan cuma alat propaganda UMNO/BN, dan pihak-pihak yang sewaktu dengannya.
(ada apa dengan Hindraf, dan banyak lagi, di posting sepenuhnya)
Kini, Hindraf pula yang menjadi sasaran Utusan.
Semenjak Hari Raya pertama (October 1), tidak kurang dari 15 rencana atau lapuran berita telah diterbitkan oleh Utusan mengenai insiden ahli Hindraf menyerahkan satu memorandum kepada Perdana Menteri semasa Rumah Terbuka BN di PWTC.
Kenapalah taksub sangat Utusan dengan Hindraf? Sampai hari ni pun tak habis-habis lagi Utusan menyiarkan rencana berkenaan Hindraf...
Ketika berjabat tangan dengan Perdana Menteri, hampir kesemua mengungkapkan kata-kata ‘hapuskan ISA dan bebaskan pemimpin Hindraf’ - bukannya ucapan Selamat Hari Raya.
Ternyata kehadiran mereka bukan berniat untuk berhari raya, sebaliknya provokasi bagi meningkatkan tekanan terhadap kerajaan biarpun pada majlis sambutan perayaan agama bagi umat Islam.
Ia bercanggah dengan kenyataan Hindraf bahawa mereka hadir untuk ‘bermaafan’.
Awang bersetuju dengan pandangan banyak pihak bahawa Hindraf sudah keterlaluan, biadap dan telah mencemarkan kesucian sambutan Aidilfitri.
Tindakan seumpama itu hanya memburukkan lagi imej Hindraf, yang pernah mengadakan demonstrasi ganas, menghasut dan melemparkan pelbagai fitnah terhadap kerajaan termasuk di luar negara.
Ada pihak melihatnya sebagai sabotaj kepada imej dan ekonomi Malaysia.
(sumber: Bisik-bisik Awang Selamat)
Awang Selamat mungkin tidak sedar yang akhbarnya sendiri pun lumrah dengan fitnah... tapi kalau Utusan yang menaburkannya, dipanggil "fakta" mungkin? Seperti yang Walski kadangkala sebut (dalam bahasa Inggeris): "go fakta yourself"... (tak perlu diterjemahkan, okay?)
Yang anehnya, Utusan bertungkus-lumus menyiarkan berita, komentar dan rencana mengenai Hindraf menghadiri jamuan rumah terbuka tersebut, tetapi tak sekali pun menyebut hakikat bahawa bukan Hindraf sahaja yang menyerahkan memorandum anti-ISA kepada Pak Lah (dari blog The People's Parliament).
Sebenarnya sentimen anti-ISA rata-rata dilahirkan oleh ramai rakyat Malaysia. Namun begitu, Utusan masih enggan menerima hakikat ini. Tak hairan juga, sebenarnya, kalau diambil kira yang fungsi utama Utusan sebagai saluran propaganda UMNO/BN, yang menggunakan ISA sebagai senjata mempertahankan keutuhan politiknya.
Beberapa hari yang lepas, Malaysiakini melapurkan bahawa Hindraf bercadang hendak menyaman Utusan sebanyak RM 1 juta "berhubung laporan dan komentar mengenai badan tersebut yang disiarkan akhbar itu". Baik saman lebih banyak lagi... biar lingkup joran propaganda yang amat dibenci ini.
Sementara menunggu samada cadangan saman ini berterusan atau tidak, seboleh-bolehnya elakkan saja dari membeli Utusan, jika anda prihatin terhadap kebenaran dan objektiviti. Kalau gatal sangat nak baca, bacalah versi online. Duit seringgit lebih tu, kalau dikumpul selama setahun, banyak juga dapat disimpan, kan? Lagi pun, kurang sikit penggunaan kertas - lebih mesra-alamlah nak dikatakan... Lagi berbaloi.
Lemah lembut si gadis ayu
Berseri kebaya penuh tradisi
Penyebar racun minda Melayu
Utusan raja propaganda yang basi
Ah... jawablah, jawablah!
Nota kaki petikan tajuk posting Walski: Tajuk posting ini diubahsuai dari tajuk rencana akhbar Utusan pada 4hb Oktober - "Jangan biarkan kebiadapan Hindraf berterusan". Jika ada masa untuk diluang, 16 rencana dan liputan berita berkenaan Hindraf dan insiden rumah terbuka Hari Raya telah Walski kumpulkan dari Utusan Online, dan boleh dimuat-turunkan di sini.